LIU Dunhe memotong kaki sendiri menggunakan serpihan kaca kerana tidak mampu membiayai kos rawatan di hospital.
BEIJING - Seorang petani di China sanggup memotong kedua kakinya dengan kaca tajam kerana tidak mampu membayar kos pembedahan sebanyak AS$1,600 (RM5,175), lapor akhbar Daily News kelmarin.
Kaki Liu Dunhe sebelum ini mereput akibat terdedah pada suhu dingin ketika dia bekerja di ladangnya pada musim sejuk.
Petani yang berusia 44 tahun berkenaan kemudian menggunakan serpihan kaca untuk memotong kedua-dua kakinya.
Namun, dia terpaksa dirawat di hospital apabila luka pada kedua-dua kakinya dijangkiti kuman yang kemudian merebak ke seluruh badannya.
"Saya menggunakan serpihan-serpihan kaca tajam untuk memotong kaki saya. Ia sangat menyakitkan," kata Dunhe.
"Saya terpaksa meminum alkohol untuk membius diri sendiri apabila tidak dapat menahan rasa sakit," tambahnya.
Petani itu menyimpan rahsia dia memotong kakinya sendiri sehingga lukanya dijangkiti kuman.
Bagaimanapun, penduduk kampungnya yang mendapat tahu tentang penderitaan Dunhe mengumpul derma sebanyak AS$3,700 (RM11,645) bagi membiayai kos rawatan lelaki itu.
Lelaki itu dijangka dibenarkan keluar dari hospital tempat dia dirawat dalam masa dua minggu lagi. - Agensi
0 comments:
Post a Comment